Sejarah Sekolah


     Sekolah Kebangsaaan Semaseh  telah dibina di atas tanah berasal dari Lot 1018 A.O.2912 atau E.M.R. 6296 seluas 1E 3R 22.5P yang dipunyai oleh En Keling Bin Mukidi dan diserahkan kepada Kerajaan Johor. Kesemua Lot 1018 untuk kegunaan Sekolah Kebangsaan dalam tahun 1960 dan digunakan oleh Jabatan Pelajaran Johor dari 31.8.1957 hingga ke hari ini. Letaknya 33 km dari bandar Muar dan termasuk dalam mukim Gersik, Muar.
  Sekolah ini asalnya dibina oleh orang kampung berlantaikan tanah, bertiangkan batang pokok nibong, berdindingkan separuh papan dan beratapkan nipah berukuran 40’ X 15’ dengan perbelanjaan sebanyak RM1500.00 dalam tahun 1955. Laluan ke sekolah pada masa itu hanyalah denai yang di penuhi oleh semak dan lalang di kiri dan kanan. Kerajaan Persekutuan membangunkan sekolah baru dalam tahun 1964. Maka terdirilah sebuah bangunan sekolah berukuran 100’ X 40’ dan kantin sekolah berukuran 40’ X 15’.
   Pada tahun 1991 berlaku kebakaran akibat litar pintas yang mengakibatkan bangunan asal terbakar. Dengan bantuan daripada wakil rakyat YB En Mahyuddin Bin Yassin pada ketika itu maka terbinalah sebuah bangunan 100’ X 40’ bagi menggantikan bangunan yang terbakar.
   Bagi tidak ketinggalan dalam arus kemajuan ICTL bermula dari tahun 2002 Sekolah Kebangsaan Semaseh juga menerima peralatan seperti komputer Riba bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Dalam tahun 2005 di bawah program Schoolnet Sekolah Kebangsaan Semaseh menerima 5 buah komputer menggunakan wireless bagi mengakses internet yang ditempatkan didalam sebuah bilik komputer yang diubahsuai berukuran 10’ X 20’.
     
   Dengan hasrat kerajaan untuk memperluaskan pendidikan Prasekolah, pada akhir tahun 2006 terbina sebuah bangunan Prasekolah. Pada tahun 2007 wujud lagi satu aliran pendidikan bagi murid-murid yang lemah iaitu Pemulihan Khas dengan peruntukan seorang guru khas.

  Satu keunikan Sekolah Kebangsaan Semaseh ia tidak pernah ditengelami air walaupun rumah-rumah di Kampung Semaseh ditenggelami air ketika berlaku banjir besar pada tahun 1972, 2006 dan terkini pada tahun 2010. Sekolah Kebangsaan Semaseh juga menjadi pusat pemindahan banjir, menjadi pusat pembuangan undi ketika pilihanraya bagi memberi khidmat kepada masyarakat setempat.


    Kini pada 2010 Sekolah Kebangsaan Semaseh telah mendapat bangunan gantian baru empat tingkat yang moden dan setaraf sekolah-sekolah lain bagi meneruskan khidmat pendidikan kepada masyarakat setempat. Semoga Sekolah Kebangsaan Semaseh akan terus maju dan berjaya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan